BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH | Portrait Agama

BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH

 On Friday, 30 May 2014  

Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah mencapai akil baligh dan berakal.



Jawapan;



Menurut mazhab Syafiie; wali (penjaga)[1]dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli dengan wangnya, bukan wang si anak). Dia seolah menghadiahkan binatang itu kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.



Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang lain –menurut mazhab Syafiie- adalah seperti berikut;



1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah korban untuknya.



2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan keizinannya.



3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya seperti di atas tadi.



4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang lain sama), juga dibolehkan.



Rujukan;



1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.

2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.

3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80 (perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).







[1] Iaitu bapa atau datuknya (al-mausu’ah).

View the original article here

BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH 4.5 5 ss Friday, 30 May 2014 Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah mencapai ak...