HUKUM DAGING LANDAK | Portrait Agama

HUKUM DAGING LANDAK

 On Friday, 27 June 2014  

Soalan; assalam..ustaz,apakah hukum makan daging landak..? ianya juga buas dan bertaring..trm ksh.



Jawapan;



Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.



Yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti berikut;



1. Mazhab Hanafi dan Hanbali; haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam al-Quran Allah berfirman (dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW) mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).



2. Mazhab Maliki dan Syafiie; harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-, pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik” (2/361). Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan yang halal dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”.[1]



Ada diriwayatkan Nabi SAW bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad; 5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis menegasnya; sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul[2], tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka mengharamkannya.



Wallahu a’lam.



Rujukan;



1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).

2. Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.

3. Hayah al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.

4. al-Fiqh al-Manhaji, 3/69.







[1] Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523. Namun orang Arab yang menjadi rujukan dalam masalah ini ialah;

a) Orang-orang Arab yang hidup pada zaman Nabi SAW.

b) Yang hidup/tinggal di bandar dan kawasan yang subur atau yang berhampiran dengannya. Ini kerana orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman dan hidup berpindah-randah kebiasaan mereka memakan apa sahaja binatang yang melata dan merangkak.

c) Yang mempunyai tabi’at yang bersih.

d) Dirujuk ketika musim subur dan senang (yakni bukan ketika musim kebuluran dan melarat yang menyebabkan mereka terpaksa makan apa sahaja yang ada).

(Lihat; Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523 dan Al-Fiqh al-Manhaji; 3/69).




[2] Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar (kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan beberapa ulamak yang lain (hadis no. 8954).


View the original article here

HUKUM DAGING LANDAK 4.5 5 ss Friday, 27 June 2014 Soalan; assalam..ustaz,apakah hukum makan daging landak..? ianya juga buas dan bertaring..trm ksh. Jawapan; Bismillah, walhamdulillah, wass...