Teks : Adillah Ismail
Saya cuba mendidik anak agar menghormati atau tidak menghina haiwan bernama anjing. Betul, ia haram untuk kita sebagai ummat Islam menyentuhnya. Tetapi tidak pula diajar dalam Islam ia haiwan yang boleh dikasari, diejek, di baling atau di halau.
Anak-anak saya masih kecil. Perumahan kami pula hanya kami yang muslim dan anjing ada merata-rata. Samada di bela atau hidup liar tanpa tuan. Kucing yang tidak bertuan adalah seekor dua. Jadi anak-anak lebih biasa melihat anjing di hadapan rumah atau sekitar perumahan. Sering saya katakan kepada mereka, ia comel tetapi haram kita ummat Islam untuk menyentuhnya. Mereka akan melambai-melambai kesukaan apabila kereta kami melepasi sekumpulan anjing-anjing tersebut. Saya katakan pada anak-anak, anjing-anjing itu sedang ambil angin, berjalan dengan kawan-kawannya.
Pesan saya pada anak-anak, jangan takut kepada anjing tetapi hormati ia sebagai hamba Allah sama macam kita. Kadangkala apabila mahu keluar dari kereta untuk membuka pagar, saya tahu 'mereka' memerhati. Takkan saya mahu baling ia dengan batu. Jadi saya fikir beri salam. Mohon laluan dari anjing-anjing tersebut. Itu sahaja pilihan saya. Mustahil nak menunggu di dalam kereta sehingga mereka beredar. Berkesan! 'Mereka' hanya memerhati dan tidak pernah menganggu kami.
Anjing-anjing ini tidak pernah lepak atau tidur di hadapan rumah. Selalu saya fikir, bahawa anjing juga mempunyai rasa hormat kepada kami yang tinggal di rumah ini kerana hanya kami sahaja yang muslim di situ.
Pesan saya kepada teman-teman, jangan takut kepada anjing. Kalau terjumpa anjing liar dimana-mana, jika rasa amat takut, berilah salam, mohon agar mereka tidak menganggu diri kita dan anak-anak jika terpaksa juga melalui tempat mereka. Jika ada ayat-ayat yang guru-guru ajar untuk membaca,bacalah. Namun, memberi salam dan berbisik dengan baik kepada hamba Allah yang satu ini juga mungkin sudah memadai.
Baru-baru ini, saya berkunjung ke rumah seorang teman. Saya fikir beliau memelihara anjing kerana rumahnya yang sangat besar. Pelihara bagi tujuan menjaga rumah. Kerana ketika berada di rumah, suami beliau mengajak anak-anak saya untuk memberi anjing tersebut makan di luar rumah mereka. Namun rupa-rupanya, sangkaan saya meleset. Anjing yang kelihatan 'baik' dengan mereka itu adalah anjing jiran sebelah yang di bela untuk menjaga stor jiran tersebut. Malangnya, anjing ini dibiarkan dan tidak di beri makan. Akhirnya, teman saya inilah yang memberikan anjing tersebut makan dan kini, anjing-anjing itu bukan sekadar menjaga stor tuan sebenarnya tetapi turut menjaga rumah beliau. Buat baik di balas baik....Jika di sebut tentang rezeki sahabat saya ini, kadangkala ia di luar jangkauan akal. Begitu Allah mengaturnya.
Melihat kebaikan yang teman saya lakukan ini, saya juga terfikir perkara yang sama untuk kami lakukan kepada anjing-anjing liar sekitar perumahan kami.
Akhir kalam, jangan sesekali, haiwan ini di tendang, di baling dengan batu, kayu, atau di caci. Mereka juga haiwan ciptaan Allah. Berhak di hormati dengan cara mereka sendiri. Yang menjarakkan kita dan dia cuma panduan dalam Islam agar tidak menyentuhnya. Bukan di sakiti. Jika ia terlalu garang, atau kelihatan merbahaya, kita jauhilah mereka. Kerana mungkin ia didikan dari tuan dan ia merasakan ada ancaman, jadi anjing ini bertindak agresif.
Manatahu, dengan memberi anjing liar yang kelaparan ini, kita menjemput rezeki hadir dalam hidup kita.
Fikir-fikirkanlah. Wallahualam.
Salam Hormat
Terima kasih kerana membaca entri ini