Sahabat saya dan suami, Ustaz Wan Ariffin telah mewakafkan rumah beliau bagi digunakan untuk kegunaan sebagai tempat perlindungan sementara saudara kita yang memerlukan rumah untuk berlindung serta menjadi pusat pengajian agama untuk saudara kita (muallaf) yang baru atau sudah lama memeluk Islam
Kesediaan beliau mewakafkan rumah ini amat kami kagumi. Sebetulnya, kami dan beliau tidak saling mengenali. Namun atas dasar dakwah untuk saudara kita, Allah pertemukan kami.
Alhamdulillah, setelah hampir setahun niat rumah berkenaan untuk dijadikan pusat bagi meningkatkan kefahaman saudara kita mengenai Islam kini kelas pengajian agama dan kelas membaca Al Quran berjalan dengan konsisten pada setiap hari Sabtu selepas solat Maghrib sehingga jam 9.30 malam.
Bagi saudara kita di sekitar Kota Samarahan juga kawasan yang berdekatan, di jemput hadir ke kuliah agama serta belajar teknik membaca Al Quran menggunakan teknik Al Barqy ini.
Saya dan suami akan membimbing bagi teknik belajar asas Al Quran menggunakan teknik Al Barqy. Manakala Ustaz Amir Ridhwan (seorang ustaz berbangsa Iban yang juga merupakan saudara kita) akan memberikan kuliah berdasarkan Buku Panduan Hidup Bersyariat.
Entri ini saya tulis bagi memudahkan pencarian bagi mana-mana individu saudara kita yang mungkin satu hari nanti, di sekitar Kota Samarahan mencari tempat untuk belajar agama.
Saya dan suami bukan ahli dalam bidang Al Quran, bukan juga hafiz atau hafizah. Bukan ustaz mahupun ustazah dalam bidang pengajian agama. Kami hanya membantu Ustaz Wan. Namun amat berharap, kami juga mereka, akan menjadikan Al Quran ini penyuluh sepanjang jalan kehidupan di muka bumi ini. Berharap juga peluang kami untuk menimba ilmu bertambah dengan lebih luas selepas ini. Saya yakin ini salah satu jalan yang telah Allah tentukan untuk kami menyumbang untuk agama. Agaknya ini faktor kami di tempatkan Allah berada di negeri yang bukan tanah kelahiran kami.
Baitul Ihtimam
Hanya kami pohon dari Allah pengakhiran yang baik untuk kami apabila telah tiba saatnya.
In Sha Allah.
Terima kasih kepada sahabat kami Ustaz Wan Ariffin yang telah Allah dorong hatinya untuk mewakafkan rumah sendiri bagi tujuan mulia ini. Hanya Allah yang mampu membalas pengorbanan wang ringgit yang telah beliau salurkan untuk tujuan ini.
Pertanyaan lanjut berkenaan Baitul Ihtimam boleh hubungi saya di talian 013 8302712.
Terima kasih kerana membaca entri ini
Salam Hormat